loading...

Paksa kami doa sebelum rogol, Nadia dakwa IS ‘layan macam haiwan’

loading...


KAHERAH, 2 Jan — Gadis yang berjaya melarikan diri dari keganasan kumpulan Negara Islam (IS) menceritakan bagaimana beliau dirogol dan didera sepanjang tiga bulan ditawan.

Nadia Murad Basee Taha seorang daripada 5,000 wanita puak Yazidi, yang dianggap sesat, yang ditawan selepas pengganas IS menyerang kampungnya Kocho di utara Iraq.

“Kami dilayan lebih teruk daripada binatang. Mereka rogol wanita beramai-ramai. Mereka lakukan perkara yang tidak terbayangkan oleh fikiran.

"Mereka merogol dan membunuh atas nama Islam,” katanya seperti dilaporkan portal The Independent semalam.

Nadia, 21, menceritakan kisah itu kepada pelajar Universiti Kaherah minggu ini bagaimana  pengganas IS “memaksa tawanan berdoa dan kemudian merogol” mereka.

Kata pelajar itu lagi, penahanannya pada musim panas lalu bermula selepas pengganas IS membunuh 312 lelaki di kampungnya dalam masa sejam dan menjadikan gadis sebagai hamba.

Nadia dan kumpulan gadis itu kemudian ditahan tiga hari di kubu kuat pengganas di Mosul sebelum “diagih-agihkan” kepada pejuang IS.

Katanya, terdapat wanita yang membunuh diri kerana tidak sanggup berdepan dengan detik sukar itu tetapi perkara itu tidak terlintas di hatinya.

“Saya tidak mahu membunuh diri — tetapi saya mahu mereka bunuh saya,” portal akhbar United Kingdom itu memetik beliau berkata kepada majalah Time.

Gara-gara gagal dalam cubaan melarikan diri, Nadia dipukul dan dirogol enam militan sebagai hukuman.

“Mereka terus melakukan jenayah ke atas tubuh saya sehingga saya tidak sedarkan diri,” katanya ketika memberi keterangan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York minggu lepas.

Nadia berjaya meloloskan diri pada November 2014 dengan menuju ke kem pelarian sebelum meminta suaka di Stuttgart, Jerman.


0 Response to "Paksa kami doa sebelum rogol, Nadia dakwa IS ‘layan macam haiwan’"

Post a Comment