loading...
Hukum Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Berhadas Besar.
Sering kita tertanya-tanya, semasa kita berhadas besar iaitu ketika kita sedang haid, selepas bersalin dan sebagainya, adakah boleh kita untuk memotong kuku dan memotong rambut, jadi mari PP kongsikan satu artikel mengenai Hukum Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Berhadas Besar;
Terdapat ulamak memakruhkan kita untuk memotong kuku, mencukur atau menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan sebagainya, semasa sedang berjunub , semasa sedang haid dan nifas. Mereka adalah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulamak dari mazhab Hanbali). Berkata Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin; “Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya sekiranya dia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut daripada tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” (Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil. 1, hlm. 91).
Mereka berdalilkan hadis yang dikatakan dari Rasulullah s.a.w. yang berbunyi;
لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر
“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci”(Riwayat al-Ismaili dari Saidina ‘Ali r.a.)
Namun jumhur ulamak tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Ini kerana menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi s.a.w. yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas daripada melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadis di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab)..
Berkata Imam ‘Atha’ (seorang Tabi’in terkenal); “Harus” orang yang berjunub untuk berbekam, untuk memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”[2] (Riwayat Imam al-Bukhari). Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan tentang hukum orang berjunub, yang berbekam (iaitu mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur atau memotong rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, dia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.
Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan memotong rambut dan kuku oleh orang yang berjunub. Malah Nabi s.a.w. ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;
ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن
“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkatanlah” (HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib r.a. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).
Di dalam hadis di atas Nabi s.a.w. hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut atau bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya melakukannya selepas mandi. Ini menunjukkan bahawa memotong rambut atau bulu dan berkhatan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 1/438.
2. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.
3. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.
2. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.
3. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.
semoga dapat dijadikan panduan, insyallah
0 Response to "Hukum Memotong Kuku Dan Rambut Ketika Berhadas Besar."
Post a Comment